Cintai Bahasa Arab

Bagaimana hendak mahir dalam bahasa Arab ? Langkah awal ialah mencintai bahasa Arab. Kita perlu suka dengan bahasa ini. Tanamkanlah rasa kecintaan itu terlebih dahulu sebelum kita menerokai bahasa ini dengan lebih mendalam. Dek rasa kecintaan, kita tidak akan jemu dan putus asa kerana kuasa CINTA.

Rasa cinta boleh dipupuk dan disemai. Kita mesti mencari sebab yang kukuh kenapa kita perlu mencintai bahasa ini. Antaranya melihat dari sudut global dan agama. Kita menyedari bahawa Bahasa Arab adalah bahasa antarabangsa. Jumlah penutur Bahasa Arab berada di tangga kedua selepas bahasa Mandarin.

Dari aspek global, peluang kerjaya terbuka luas dan tawaran-tawaran terbaik dari negara-negara Timur Tengah menanti buat golongan ini. Sekiranya kita suka melancong, kita akan mendapati bahawa istimewanya kita mempunyai kelebihan dalam berbahasa. Kita akan mudah untuk bersosial dengan penutur Bahasa Arab ini.

Dari aspek agama, kita menyedari bahawa tulisan dalam al-Qur’an adalah dalam bahasa Arab. Kita perlu berazam untuk memahami isi kandungan al-Qur’an yang menjadi sumber rujukan Muslim. Justeru, motivasi agama merupakan faktor yang sangat kuat untuk kita mencintai bahasa Arab. Hal ini sebagaimana firman Allah Ta’ala:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

“Sesungguhnya Kami telah jadikan Al-Quran dalam bahasa Arab supaya kalian memikirkannya.” (QS. Yusuf [12]: 2)