Dalam kehidupan, kita kadang-kadang bertembung cara berfikir dengan orang lain. Dalam bahasa mudah, kita tidak sependapat dengan idea, pandangan dan tindakan. Pertembungan ini akan sentiasa berlaku berulangkali kerana latar belakang, pengalaman, pengetahuan dan lain-lain tidak sama. Justeru, pandangan seorang individu dengan individu yang lain tidak sama. Bahkan, dikalangan adik-beradik sendiri pun boleh berbeza pendapat inikan pula dengan orang luar.

Saidatina Aisyah bertanyakan kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di dunia. Baginda SAW menjawab: Dengan akalnya. Saidatina Aisyah bertanya lagi: Bagaimana seseorang itu mendapat keutamaan di akhirat. Baginda menjawab: Dengan akalnya. Lantas Aisyah bertanya: Bukankah seseorang itu mendapat keutamaan dengan amalnya? Lalu Rasulullah SAW menjawab: Seseorang itu beramal mengikut kadar akalnya.” (Riwayat Tirmidzi).

Hadis ini jelas menunjukkan keutamaan berfikir. Perlakuan seseorang itu bergantung kepada daya fikirnya. Kejelasan pemikirannya itu menggalakkan kepada tindakan dan amalannya.
Edward de Bono dalam bukunya Handbook for the Positive Revolution menyebutkan mengenai 6 topi berfikir. Topi-topi tersebut dibezakan dengan warna yang akan menggambarkan cara berfikir. Logiknya penggunaan warna itu menggambarkan kepelbagaian corak berfikir yang diamalkan oleh seseorang individu.

Menurut beliau, 6 topi berfikir ini adalah teknik mudah dan praktikal untuk memperkenalkan tabiat-tabiat berfikir secara konstruktif. Teknik ini tidak ubah seperti lakon peranan. Ada ketikanya seseorang individu itu perlu memakai topi putih tetapi mungkin pada masa yang lain perlu menukar topi itu kepada topi hitam.

Apakah simbolik di sebalik warna-warna topi itu? Apabila individu itu memakai topi putih, dia hanya mahu mendapatkan maklumat-maklumat dan fakta-fakta sahaja. Dia tidak bersedia untuk menerima sebarang pandangan atau idea. Contoh: Berapakah orang yang hadir ke majlis tersebut.
Apabila individu itu memakai topi merah, dia melahirkan perasaannya secara terus-terang tentang perkara-perkara tertentu. Dia akan menyatakan dengan jelas tanpa berselindung lagi. Contohnya: saya merasa bahawa perbuataan itu teruk sangat.

Individu itu menjadi seorang yang berjaga-jaga dan membuat penilaian atas sesuatu apabila memakai topi hitam. Dia juga melihat segala bahaya yang ada dan kesulitan yang mendatang. Bahkan dia juga menilai mengapa sesuatu kerja itu tidak berjaya dilakukan dengan baik.
Sebaliknya, apabila individu itu mula memakai topi kuning, dia mula bersikap optimis terhadap sesuatu. Persoalannya hanyalah berkisarkan sesuatu yang positif. Dia melihat secara optimis sesuatu perancangan itu boleh dilakukan dengan jaya. Dia juga memikirkan tentang faedah-faedah yang akan diperolehi dan bagaimana ia berhasil.

Topi hijau simbolik dengan tenaga tumbuh-tumbuhan dan kehidupan menggalakkan kepada cara berfikir kreatif. Dia cenderung memberikan cadangan dan idea-idea mengenai sesuatu perkara sama ada pandangan itu diterima atau ditolak. Dia akan tetap memberikan cadangan.
Akhirnya, apabila individu itu memakai topi biru, dia mula melihat sesuatu perkara itu secara menyeluruh. Dia meneliti cara berfikir terhadap sesuatu. Dalam konsep Islam, ia adalah muhasabah diri terhadap gaya berfikir kita.

6 topi berfikir Edward de Bono ini adalah latihan kita berfikir. Kemahiran berfikir seumpama kemahiran memandu. Kita perlu belajar memandu. Begitu juga berfikir, kita perlu belajar berfikir agar kita dapat berfikir secara konstruktif. Perlakuan kita akan menjelmakan daya fikiran kita dan akhirnya akan menatijahkan impak dalam kehidupan kita.